suria

Dua Beregu Negara Dapat Laluan Mudah Ke Undian Pertama Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Dua beregu negara mendapat laluan mudah untuk mara ke undian utama kejohanan badminton Terbuka Australia di Sydney Olympic Park pada Selasa.

Gandingan Mohamad Syazmil Idham Zainal Abidin dan Muhammad Amzzar Zainuddin mendapat 'bye' dalam pusingan kelayakan dan tiada perlawanan buat beregu Ahmad Maziri Mazlan/Amir Syazwan Al Razi Mohd Shahriman Bakhtir.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Ahmad Maziri/Amir Syazwan dijadual bertemu beregu tuan rumah Simon Wing Hang Leung/Mitchell Wheller dalam pusingan kelayakan itu.

Pada pusingan pertama Rabu, Syazmil Idham/Muhammad Amzzar akan berjumpa Berry Angriawan/Rian Agung Saputro dari Indonesia diikuti dengan Ahmad Maziri/Amir Syazwan menentang satu lagi beregu dari Indonesia iaitu Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Undian utama pada Rabu turut menyaksikan gandingan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong menentang Matijs Dierickx/Freek Golinski dari Belgium, Tan Wee Kiong/Goh V Shem yang merupakan pilihan kelapan kejohanan akan bertemu Nikhar Garg/M. Anilkumar Raju dari India.

Gandingan Nur Mohd Azriyn Ayub/Jagdish Singh turut berada dalam undian utama dan dijadualkan menentang beregu tuan rumah, Cham Chen/Sagar Kumar.

Bagi acara perseorangan lelaki pula akan disertai oleh Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkiffli, perseorangan wanita pula dibarisi oleh Tee Jing Yi dan Goh Jin Wei.

Beregu wanita diwakili oleh Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan beregu campuran pula Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng/Lai Pei Jing. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain