BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Portugal menundukkan Estonia 7-0 dalam aksi pemanas badan terakhir menjelang kempen sepak mula Euro 2016 yang akan membuka tirainya Jumaat ini. Ronaldo membuka jaringan seawal minit ke-36 apabila menanduk masuk hantaran Ricardo Quaresma. Quaresma merembat masuk gol kedua Portugal pada minit ke-39 sebelum Ronaldo menambah jaringan ketiga sebelum tamat babak pertama. Ronaldo digantikan pada babak kedua tetapi ia tidak menghalang Portugal untuk terus berpesta gol. Pemain berusia 31 tahun itu tidak menunjukkan sebarang masalah otot yang dialaminya pada perlawanan akhir bersama Real Madrid bulan lalu. Ronaldo kembali menyertai skuad Portugal selepas terlepas aksi dua perlawanan dan menambah rekod jaringannya bersama skuad tersebut kepada 58 gol. Pada babak kedua, Danilo Pereira menanduk masuk sepakan penjuru Quaresma selepas minit ke-55, meletakkan kedudukan 4-0. Enam minit kemudian Karol Mets menghadiahkan gol percuma kepada Portugal apabila menjaringkan gol ke gawang sendiri. Quaresma menambah gol keenam pada minit ke-77 sebelum Eder melengkapkan gol ketujuh ketika perlawanan berbaki 10 minit. Portugal akan bertemu Iceland pada perlawanan pertama Kumpulan F di Perancis. Turut berada dalam kumpulan tersebut adalah Austria dan Hungary.