suria

Kecederaan Paksa Nadal Tarik Diri Kejohanan Wimbledon

Rafael Nadal.

BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal menarik diri daripada kejohanan Wimbledon akibat kecederaan pergelangan tangan.

Pemain berusia 30 tahun itu turut terpaksa menarik diri pada Terbuka Perancis baru-baru ini semasa pertemuan dengan Facunda Bagnis akibat kecederaan yang sama.

Kini, Nadal juga terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di All England Club.

"Saya amat sedih untuk mengumumkan selepas berbincang dengan doktor saya dan menerima keputusan hasil pemeriksaan terbaharu bahawa saya tidak boleh beraksi pada kejohanan Wimbledon tahun ini," kata Nadal menerusi laman Facebooknya pada Khamis.

Nadal bergelut dengan masalah di pergelangan tangan pada kejohanan Madrid Masters kemudian diburukkan lagi semasa aksi pusingan kedua menentang Bagnis di Paris.

Juara Wimbledon pada 2009 dan 2010 itu membayangkan bahawa dirinya sudah bersedia untuk kembali mempamerkan persembahan terbaik di gelanggang tanah liat selepas mencatat kemenangan di Monte Carlo Masters.

Namun kecederaan itu terus menghantui sehingga menyebabkan Nadal bergelut untuk memperbaiki prestasi dan tahap kecergasannya.

Bapa saudara kepada Nadal, Toni Nadal berkata tiada tarikh khas ditetapkan untuk pemain itu kembali beraksi.

Malah, beliau memberi bayangan bahawa Nadal mungkin tidak akan mengambil risiko tahap kecederaannya dengan beraksi pada Sukan Olimpik, Ogos ini.

"Beliau tidak akan kembali ke gelanggang selagi belum 100 peratus pulih. Kita tidak boleh mengambil risiko dengan menurunkannya pada Sukan Olimpik," kata Toni.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Copa America

Artikel Lain