PENGENDALI Itali, Antonio Conte enggan menjawab sebarang soalan mengenai Chelsea sejak kebelakangan ini, namun dia tidak boleh melarikan diri apabila dikaitkan dengan Radja Nainggolan. Ini kerana, ketika Conte dikatakan bertemu Roman Abramovich untuk membincangkan pemindahannya ke London, dia dikatakan turut mengenalpasti muka baharu yang akan dibawa. Dailymail melaporkan, tidak cukup dengan itu, Conte dikatakan telah menemui Nainggolan di sebuah hotel di Rome pada Mei lalu untuk membincangkan pemindahan pemain tersebut ke Chelsea. Bekas jurulatih Juventus tersebut bertemu Nainggolan secara rahsia ketika sedang mengetuai latihan skuad Itali. Walaupun perkara itu dinafikan oleh Conte, namun Nainggolan telah mengakui dan memberitahu enggan berhijrah. Malangnya, Roma bersedia menjual pemain tengah Belgium berusia 28 tahun itu dengan nilai pemindahan sebanyak £27 juta.