BANGKOK: Thailand mendapat satu lagi pingat gangsa daripada temasya Sukan Olimpik London 2012 apabila atlet wanita angkat berat Ukraine yang memenangi pingat tersebut gagal dalam ujian doping. Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), Mej. Jen Intarat Yodbangtoey berkata susulan pembatalan keputusan Yuliana Kalina maka pingat tersebut diberikan kepada atlet Thailand, Siripuch Kulnoi, yang menduduki tempat keempat dalam acara 58kg itu. Yuliana, yang digantung, adalah antara 10 atlet dari Rusia dan negara-negara bekas jajahan Soviet Union yang gagal dalam ujian doping, katanya pada media tempatan, di sini hKhamis. Berikutan tambahan pingat itu, Thailand mencatatkan dua pingat perak dan dua gangsa pada temasya sukan berprestij itu. Intarat berkata keputusan IWF itu akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) minggu depan. -Bernama