suria

F1: Baku Bakal Rakam Juara Pertama Grand Prix Eropah

BANDARAYA Baku pertama kali disenaraikan dalam kalendar perlumbaan Formula Satu (F1) sebagai tuan rumah Grand Prix Eropah hujung minggu ini sekaligus bakal merakam juara pertama di litar jalan raya baharu di Azerbaijan ini.

Venue baharu yang mendapat sentuhan arkitek trek F1 terkenal, Hermann Tilke ini antara litar terpanjang dengan 6.003 kilometer, manakala jarak perlumbaan 306.049km bersama 20 selekoh dengan 51 lap.

“Penjelasan yang ringkas kepada Tilke supaya membina sebuah litar yang unik, kerana ia akan lebih cepat menjadikan Grand Prix Eropah di Baku ini paling menarik dan mencabar dalam kalendar F1, serta memastikan peminat-peminat serta pasukan teruja di sini.




“Paling penting kami mahu di litar ini, kita dapat lihat pemandangan menarik di bandaraya Baku ini. Saya  juga berharap venue ini akan mencapai apa yang saya sasarkan, ujar Menteri Belia dan Sukan Azerbaijan, Azad Rahimov.

Sementara itu, semua pelumba yang telah mengkaji selok belok litar jalan raya melalui simulator sebelum ini, mengakui ianya tidak mengecewakan.

“Saya gembira keadaan litar ini walaupun agak mencabar, bukan kerana reka bentuknya tetapi keadaan yang licin.

“Ia lebih kurang sama dengan keadaan Litar Monaco dan dapat dirasainya ketika menekan brek. Selain itu permukaan trek yang licin dan kedudukan selekoh seperti hasil gabungan dua litar,  Valencia dan Sochi,” jelas juara bertahan, Lewis Hamilton.

Selain Hamilton, pelumba Ferrari Sebastian Vettel turut mengakui litar di Baku ini sangat sukar jika tidak memahaminya.

“Pada awalnya, ketika mencari petunjuk, saya seperti tertipu dengan persekitaran terutama pokok-pokok kelihatan sama sahaja.



“Tetapi selepas beberapa kali mengujinya mula menemui rentak, saya akui litar ini sangat menarik, mencabar terutamanya di zon pecutan tinggi.

Grand Prix Eropah ini merupakan perlumbaan Pusingan Ke-8 daripada 21 aksi kejuaraan F1 musim ini.

Artikel Lain