KEJAYAAN Bruno Lopes mencipta hatrik ketika membantu Kedah menewaskan Perlis 3-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman pada Rabu malam, belum cukup untuk menjamin tempatnya dalam skuad hijau kuning. Sebaliknya, penyerang dari Brazil yang sedang diuji itu diminta membuktikan penyudah lebih baik sebelum ditawarkan kontrak oleh Persatuan Bola sepak Kedah (KFA). Tidak cukup dengan itu, Lopes juga akan diuji bersama pemain import lain yang dilapor akan tiba pada Sabtu. Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe turut mengesahkan bahawa beberapa penyerang lagi akan tiba untuk diuji bersama Lopes dalam tempoh terdekat. Jelasnya, kesemua pemain import tersebut dituntut membuktikan ketajaman penyudah selain faktor lain yang perlu ada pada seorang penyerang jika mahu sertai Kedah. "Lopes telah buktikan penyudahnya dengan menjaringkan empat gol daripada dua perlawanan. Ini satu rekod yang baik, tetapi saya tidak mahu membuat sebarang keputusan sebelum tempoh ujian tamat. "Kita akan tunggu dulu penyerang lain yang akan sampai untuk diuji. Selepas kesemua ujian selesai dilakukan barulah kita akan membuat keputusan siapakah yang akan menjadi penyerang Kedah selepas ini," katanya kepada mStar Online. Cheng Hoe memberitahu, Lopes telah menunjukkan bahawa dia seorang penyerang yang komited sepanjang 90 minit perlawanan selain dapat menjaringkan gol. Tambahnya, pemain berkenaan juga mempunyai kemampuan untuk mencipta peluang ketika di depan gol untuk menghasilkan jaringan khususnya dalam perlawanan menentang Perlis. "Dalam perlawanan malam tadi kita ketinggalan 2-0 tetapi semangat dan kesungguhan daripada kesemua pemain berjaya membuatkan kita bangkit semula dan memenangi perlawanan itu. "Ini adalah satu semangat berpasukan yang digeruni lawan dan permainan seperti ini perlu konsisten dalam apa jua kejohanan yang kita hadapi selepas ini," ujarnya. Cheng Hoe berkata, Kedah dijadual menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini dan DRB Hicom (Rabu) sebagai persediaan menghadapi Piala Malaysia dan baki saingan Liga Super. Saingan Liga Malaysia akan kembali bermula pada Julai dan jendela pemindahan telah dibuka untuk setiap pasukan menukar pemain.