"MINAT yang dicampurkan usaha dan akhir sekali ungkapan doa semoga apa yang diimpikan menjadi kenyataan."
Itulah tiga ramuan hidup pengadil wanita tunggal negara yang bakal bertugas pada Sukan Olimpik, Rio de Janeiro Ogos ini, Rita Ghani.
Nama Rita dalam sukan bola sepak sememangnya amat sinonim dengan peminat-peminat bola sepak wanita dan juga barisan pengadil negara.
Sebelum secara rasmi bergelar pengadil profesional, wanita yang baharu menyambut ulang tahun kelahiran kali ke-39 pada 11 Mei lalu merupakan bekas penyerang pasukan wanita Malaysia.
Bagi mengembangkan lagi minatnya dalam dunia bola sepak, Rita tidak mensia-siakan bakatnya dan mula terlibat dengan dunia pengadilan sejak 2006.
Dan sejak itu, langkah tegasnya dalam mengadili setiap perlawanan berterusan sehingga dinobatkan pengadil terbaik di peringkat Asia. Baginya, setiap cabaran yang dihadapi adalah asam garam dunia pengadil.
Menurut Rita, dia tidak meletak sebarang harapan untuk dipilih bertugas di Brazil nanti memandangkan pengadil-pengadil wanita dari negara Asia lain tidak kurang hebatnya.
"Saya tidak jangka akan terpilih Ogos ini, tetapi dalam pada itu sentiasa berusaha dan berdoa agar layak ke Rio," jelasnya menerusi Aplikasi WhatsApp kepada mstar Online, Rabu.
Pun begitu, pemenang anugerah Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014 ini mengakui ia adalah tawaran terbaik sepanjang kariernya dan menganggap segala usaha keras akhirnya membuahkan hasil. Malah Rita turut berterima kasih kepada suami, keluarga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dah rakan-rakan pengadil yang sentiasa memberi sokongan padu.
Hanya tinggal sebulan lebih lagi sebelum meniup wisel permulaan di Rio, Rita kini fokus membuat persiapan rapi dari segi menatal dan fizikal.
Malah, ketika Ramadan Rita tetap menjani latihan persiapan sebelum terbang ke Brazil penghujung Julai nanti.
"Jadual harian saya tidak berubah. Tetap berlatih pada sebelah pagi atau petang mengikut program yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
"Saya menyambut Ramadan ini secara sederhana sahaja memandangkan sibuk dengan latihan. Saya bersyukur kerana suami, Mohd Shahrizal Ramli amat memahami dan memberi sokongan penuh.
"Pun begitu saya tetap tidak lupakan makanan kesukaan saya, pengat pisang versi ibu sendiri. Bagi saya ia adalah pengat pisang yang paling sedap di dunia," jelas pengadil kelahiran Sabah ini.
Disebalik kesibukan itu, Rita turut tidak ketinggalan membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk diraikan dengan penuh kesyukuran.
"Saya membuat persiapan hari raya secara sederhana sahaja. Tetapi saya akan pulang ke kampung sebelah suami terlebih dahulu di Pontian sebelum beraya di Sabah. Ini sahaja masa yang ada sebelum mula bertugas di Brazil," katanya.
Nama penuh: Rita Ghani
Tarikh lahir: 11 Mei 1977
Asal: Sabah
Karier tetap : Anggota Polis Diraja Malaysia
Karier semasa : Pengadil Fifa sejak 2006
Antara sebahagian pengalaman antarabangsa Rita sebagai pengadil:
2014- Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia
2014 -Piala Algarve di Portugal.
2015- Piala AFC Wanita Bawah 16 Tahun
2015-Piala Dunia Wanita di Kanada