suria

Bakal Bergelar Bapa, Aidilfitri Penuh Makna Buat Zulfahmi

SAMBUTAN Aildilfitri tahun ini dianggap penuh bermakna buat pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang beraksi dalam kelas Supersport.

Bekas pelumba MotoGP kategori Moto2 dan Moto3 kelihatan lebih gembira memandangkan sambutan hari raya tahun ini bersama dengan dua keluarga.

Malah lebih penting, pelumba berusia 25 tahun ini bakal menjadi seorang bapa tidak lama lagi.

"Saya gembira dan bersyukur dengan sambutan hari raya tahun ini kerana pertama kali beraya dengan isteri.

"Banyak perbezaan dengan kehidupan sebelum kahwin. Kini segalanya lebih teratur dan semua persiapan raya disediakan isteri.

"Lagipun tempoh cuti panjang perlumbaan selama dua bulan dapat memberi ruang kepada saya untuk menghabiskan masa bersama keluarga, lebih-lebih lagi isteri saya sedang mengandung anak sulung kami.

"Selepas ini, saya akan sibuk dengan perlumbaan dan waktu rehat ini digunakan sebaik-baiknya," jelasnya yang menamatkan zaman bujangnya awal tahun ini.

Zulfahmi memilih memakai baju melayu cekak musang hijau gelap sedondon  dengan isteri dan keluarganya.

"Lebih gembira, saya dan isteri tidak berdepan dengan 'situasi beraya di mana' pada hari pertama seperti pasangan pengantin baharu yang lain kerana rumah keluarga isteri tidak jauh dari kediaman saya.

"Jadi saya boleh berulang-alik bila-bila masa sahaja," tambahnya.

 Zulfahmi Khairuddin sah bergelar suami kepada Nuruldina Talhis,  Januari lalu.

Sementara itu, mengenai musim baharunya bersama WSBK, Zulfahmi mahu memberi fokus dalam baki empat perlumbaan musim ini.

Pada aksi di Sepang, Mei lalu,  Zulfahmi berjaya meraih tempat kedua sebelum gagal meneruskan aksi di Itali kerana terjatuh 19 Jun lalu.

Selepas ini, Zulfahmi bakal beraksi dalam Pusingan 10 di Jerman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain