KUANTAN: Pahang memperkenalkan lima tonggak baharu termasuk empat pemain import bagi memperkuatkan lagi pasukan itu untuk mengharungi baki perlawanan saingan Liga Super dan Piala Malaysia. Empat pemain import baharu yang menjadi sandaran skuad Tok Gajah itu ialah Faysal Shayesteh dari Afghanistan, Pablo Andres Vranjican (Argentina), Claudio Andres Meneses (Chile) dan pemain dari Brazil, Jailton De Campos Dos Santos. Mereka menggantikan Dalibor Volas dan Naj Potokar dari Slovenia, German Pachecho (Argentina) dan Zesh Rehman (Pakistan) yang telah ditamatkan kontrak atas persetujuan bersama kedua-dua pihak. "Pengambilan pemain import ini dibuat berdasarkan kajian dan penelitian yang agak rapi oleh panel dan ketua jurulatih. Keempat-keempat pemain import baharu ini sudah berada di Kuantan lebih daripada sebulan setengah yang lepas untuk diuji," kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Akbar V. V. Abu. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa majlis pengenalan pemain baharu dan jamuan Hari Raya Aidilfitri PBNP bersama anggota-anggota majlis dan pegawai serta pemain iga Malaysia 2016 di sini. Akbar berkata penamatan kontrak empat pemain import sebelum ini dilakukan selepas setelah mendapati mereka kurang serasi bersama pemain tempatan. "Kami juga mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada keempat-empat bekas pemain import yang telah secara sukarela bersetuju untuk ditamatkan kontrak ini," katanya. Selain itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Helmi Eliza Elias juga diperkenalkan sebagai penjaga gol baharu untuk memperkukuhkan lagi skuad Tok Gajah. Dalam pada itu, beliau berharap kehadiran pemain baharu itu dapat kembali memantapkan lagi prestasi pasukan Pahang yang kini menghuni tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam pusingan pertama Liga Super musim ini. Dalam masa yang sama, Akbar turut meminta penyokong skuad Tok Gajah terus memberi sokongan penuh kepada pemain untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam pusingan kedua Liga Super musim ini, sekali gus dapat merangkul Piala Malaysia.