suria

Penyerang Baru Kedah Mula 'Jatuh Cinta' Sejak Tahun Lalu

"SAYA mula 'jatuh cinta' pada pasukan Kedah sejak mereka menyingkirkan pasukan yang saya wakili, Felda United pada perlawanan separuh akhir Piala Mlaysia musim lalu.

"Kekuatan mereka mampu mengatasi dua gol yang saya hasilkan sendiri dan satu jaringan hasil bantuan saya," demikian komen penyerang baru skuad Helang Merah, Thiago Augusto Fernandes.

Augusto yang berasal dari Brazil ditemui selepas menjalani latihan bersama pemain Kedah buat pertama kali pada petang Isnin.

Pemain Felda yang dipinjamkan kepada Kedah itu tidak dapat beraksi selama tujuh bulan pada tahun ini akibat kecederaan lutut.

Berikutan itu, Felda yang merupakan pencabar utama Liga Super menjadikan Forky Doe sebagai pengganti pemain tinggi lampai berkenaan.

Augusto memberitahu, dia tertarik dan kagum dengan aksi barisan pemain Kedah khususnya tonggak muda yang dapat bergandingan dengan pemain senior untuk membentuk sebuah pasukan mantap sehingga layak ke final Piala Malaysia tahun lalu.

"Ketika Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menawarkan kontrak untuk beraksi bersama skuad ini pada awal April lalu, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju kerana ia antara hasrat saya.

"Apa yang saya harapkan ialah ribuan peminat setia Kedah dapat bersabar dengan corak permainan saya pada awal ini, kerana selepas pulih daripada kecederaan, saya perlu meningkatkan kecergasan ke tahap maksimum untuk memberikan yang terbaik.

"Sepanjang tujuh bulan berehat, saya hanya diberi peluang bermain dalam tujuh perlawanan persahabatan dan itupun sebagai pemain gantian," katanya kepada mStar Online.

Augusto menambah, walaupun dapat menjaringkan gol untuk Kedah dalam tempoh terdekat, namun dirinya memerlukan lebih masa untuk cergas sepenuhnya.

Jelas pemain berusia 26 tahun itu, tempoh pinjaman kepada Kedah bakal berakhir apabila kontraknya bersama Felda tamat pada 31 Disember.

"Selepas kontrak tamat iaitu bermula tahun depan, saya bebas untuk bermain dengan mana-mana pasukan.

"Saya harap Kedah akan memberi peluang untuk terus bersama pasukan ini. Apa pun saya perlu membuktikan kemampuan kepada jurulatih dan pihak pengurusan dulu," ujarnya.

Menurutnya, walaupun baru menjalani sesi latihan bersama pasukan Kedah, tetapi dia telah mengenali Sandro Da Silva  yang merupakan pemain tengah Kedah sejak empat tahun lalu.

"Oleh itu saya telah diberitahu apakah sasaran pasukan ini dan menjadi tanggungjawab saya untuk merealisasikan impian penyokong.

"Dengan kemampuan yang ada pada semua pegawai dan pemain, saya yakin impian untuk menjadi juara mampu menjadi nyata," katanya.

Augusto dipinjamkan kepada Kedah menerusi pertukaran Ahmad Fakri Saarani yang diserahkan kepadaa Felda.

Ahmad Fakri menyertai Kedah pada awal tahun ini selepas bersama Kelantan pada tahun lalu.

Kedah, Felda, Brazil, Thiago Augusto

Artikel Lain