KUALA TERENGGANU: Pengendali skuad Terengganu FC II, Rachmad Darmawan kecewa dengan sikap pemainnya yang hilang fokus sehingga berputih mata mengutip mata penuh di gelanggang sendiri malam Selasa. Menurutnya tindakan pemain skuad The Titans yang lambat menguasai permainan khususnya pada babak kedua, pantas dihukum Johor Darul Takzim II (JDT II) yang bangkit menyamakan kedudukan 2-2 dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini. "Pada awal babak perlawanan kami berjaya mengawal permainan dengan baik dan mengatasi lawan dengan dua gol awal. "Namun bersambung babak kedua, pemain lambat bertindak dalam tempoh 10 minit menyebabkan kami dihukum dan tercicir tiga mata berharga," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam Selasa. Gol The Titans hadir seawal minit keenam menerusi pemain import Dilshod Sharifudinov sebelum Mohd Nor Hakim Hassan menghadiahkan gol kedua, 10 minit selepas itu. Namun JDT bangkit dengan jaringan pantas Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke 46 sebelum Paulo Rangel menyamakan kedudukan empat minit selepas itu. Bagaimanapun, Rachmad berkata pemainnya juga sudah mula serasi dengan formula baru yang digunakan pasukan itu untuk perlawanan pada Selasa. "Pemain sudah lakukan yang terbaik, namun kesilapan mudah dan gagal mengimbangi permainan telah menyebabkan kami kehilangan tiga mata. "Kesilapan seperti ini perlu dielakkan,"katanya. - BERNAMA