PETALING JAYA: Selepas Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak membuat keputusan mengejut untuk bersara daripada skuad kebangsaan dua hari lalu, kini tiba giliran S Kunanlan pula mengikut jejak langkah dua rakan pasukannya di Johor Darul Ta'zim (JDT). Pengumuman itu dibuat menerusi laman web Johor Souther Tigers pada pagi Khamis. Malah, Kunanlan berkata perlawanan menentang Fiji baru-baru ini adalah penampilan terakhirnya bersama Harimau Malaysia. "Saya dengan ini memutuskan untuk bersara mewakili skuad negara dan penampilan bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang cFiji baru-baru ini adalah penampilan terakhir saya untuk aksi antarabangsa. "Saya cukup berbangga dapat menyarung jersi kebangsaan sejak mewakili pasukan Bawah 23 tahun dan sehingga kini," katanya. Pada masa sama, Kunanlan turut mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan dan tunjuk ajar yang diberikan kepadanya selama ini. "Terima kasih diucapkan atas segala sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini dan juga tunjuk ajar. Saya amat menghargainya," katanya. Pada Selasa lalu, Aidil Zafuan, 28, dari Seremban yang membuat 68 penampilan bersama skuad negara memuat naik kenyataannya terlebih dahulu sebelum Safiq, 29, mengambil tindakan sama kira-kira sejam selepas itu. Safiq yang juga penjaring terbanyak Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2014, membuat 66 penampilan bersama Harimau Malaysia sejak 2007. Kedua-dua pemain itu berkata mereka mengambil keputusan tersebut bagi memberi laluan kepada pemain muda.