PENDAHULU pelumba MotoGP, Marc Marquez melakar kemenangan kali ketiga berturut-turut pada saingan MotoGP Jerman, Ahad malam. Pelumba Honda itu kini kelebihan 48 mata keseluruhan untuk mengetuai kedudukan pelumba selepas pelumba juara bertahan yang juga pesaing utamanya dari Yamaha, Jorge Lorenzo menamatkan perlumbaan di posisi ke-15. "Ada masa ketika di litar ini, saya terlintas bahawa perlumbaan akan berakhir lebih cepat. "Tetapi penghujungnya kami dapat meraih kemenangan dan mencatat keputusan yang baik, lebih-lebih lagi jika melihat bagaimana Valentino dan Jorge menamatkan aksi mereka. "Selain itu, sentiasa akan ada keputusan sukar sama ada mahu membuat pertukaran jentera lebih awal ataupun menunggu, tetapi di sini saya memilih untuk melakukannya lebih cepat...dan ianya berhasil," ujar Marquez dari Sepanyol. Selain itu, Lorenzo sememangnya berdepan dengan kesukaran sepanjang minggu di Litar Sachsenring ini. "Sekurang-kurangnya saya lebih baik dan pantas berbanding ketika sesi latihan bebas. "Apabila litar semakin kering saya semakin hilang posisi kerana berasa tidak selamat dan yakin dengan tayar di bahagian hadapan, brek atau selekoh," jelas Lorenzo. Perlumbaan Pusingan 10 Kejuaraan MotoGP akan diteruskan di Austrian pada 12 Ogos ini. Marquez kini mengumpul 170 mata, diikuti Lorenzo (122), Valentoni Rossi (111), Dani Pedrosa (96), Maverick Vinales (83), Pol Espargaro (72), Hector Barbera (65), Andrea Dovizioso (59) dan Eugene Laverty 53 mata. Sebagai rekod, Marquez turut meraih trofi juara di Jerman pada tahun 2015 dan 2014, malah kemenangan musim ini juga sekaligus merekodkan kejayaan ketujuh berturut-turut dalam semua kategori sepanjang kariernya (Moto2, 125cc)