suria

Melaka Umum Insentif RM25,000 Kejayaan Khairul Hafiz

Idris Haron (tengah) bersama Khairul Hafiz (tiga, kiri) dan Badrul Hisham Abdul Manap (kanan) melambaikan tangan pada majlis meraikan skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka yang pulang dari Sarawak pada Isnin. - fotoBERNAMA

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka mengumumkan insentif keseluruhan sebanyak RM25,000 atas kejayaan raja pecut kebangsaan Khairul Hafiz Jantan mencipta rekod baharu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di Sarawak yang berakhir pada Isnin.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata jumlah itu termasuk imbuhan RM10,000 atas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan 18 tahun acara 100 meter lelaki.

"Insentif tersebut sebagai penghargaan, sokongan dan dorongan kerajaan negeri kerana berjaya mengharumkan nama Melaka selain mencipta satu rekod baharu dalam acara 100 meter.

"Kami anggarkan Khairul Hafiz akan menerima insentif kira-kira RM25,000 dari kerajaan negeri atas kejayaannya meraih pingat emas dan juga memecah rekod kebangsaan serta perbaharui rekod Sukma," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Atlet Sukma Kontinjen Melaka dari Sarawak di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini, Isnin.

Kira-kira 2,000 orang awam, kakitangan kerajaan, ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka dan anggota keluarga atlet yang menyertai pertandingan berkenaan hadir menyambut kepulangan mereka.

Kejayaan anak kelahiran Melaka itu dengan catatan 10.18 saat sekali gus memadam rekod terdahulu, 10.30 saat yang dicipta bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek dari Sarawak pada 1998.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi itu yang dinobatkan Olahragawan Sukma turut memperbaharui rekod Sukma dalam acara 200 meter (21.03 saat), 4x100 meter (39.89 saat) dan 4x400 meter (3 minit 12.66 saat) bersama kuartet Melaka.

Mengulas lanjut, Idris berkata selain insentif kejayaan memecahkan rekod kebangsaan, kerajaan negeri turut mengumumkan insentif RM5,000 kerana berjaya memperbaharui rekod Sukma, pingat emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,000).

Beliau berkata Khairul Hafiz dilihat mampu mencipta nama lebih tinggi dalam sukan olahraga sekiranya beliau mengikuti latihan dan konsisten dalam setiap perlawanan yang disertainya.

"Banyak lagi peluang dan ruang yang beliau (Khairul Hafiz) dan  rakan-rakannya dari Melaka dapat cipta dalam sukan berprestij antaranya Sukan Asia, Komanwel bahkan Olimpik sekiranya mereka diberi latihan dan perhatian yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata perhatian yang khusus perlu diberikan pada atlet Melaka yang menyinar di Sukma termasuk Khairul Hafiz agar mereka tidak leka atau alpa dengan populariti serta perhatian yang diterimanya dari pelbagai pihak atas kejayaan yang dikecapi mereka.

Sementara itu, Khairul Hafiz yang menggelarkan dirinya sebagai 'The Speedy Jantan' itu berkata beliau akan mengikuti latihan seperti biasa bagi mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Terbuka Malaysia pada September depan.

"Saya amat berterima kasih kepada jurulatih saya (Mohd Poad Md Kassim) yang tidak henti melatih saya sehingga dapat memecahkan rekod kebangsaan. Sebelum Sukma masa terbaik saya adalah 10.36 saat," katanya.

Catatan itu dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Vietnam pada Jun lepas.

Katanya semua kejayaan yang diperolehnya adalah 'pinjaman Allah' dan ia tidak akan mengubah dirinya menjadi orang lain. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain