suria

Pegawai, Atlet Diminta Waspada Keselamatan Diri Dan Barangan

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meminta pegawai kontinjen negara ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil agar sentiasa memastikan keselamatan atlet, pegawai serta barangan terjamin.

Beliau berkata walaupun belum menerima sebarang laporan berkaitan masalah keselamatan atlet dan pegawai negara terjejas setakat ini, langkah berjaga-jaga harus dipertingkatkan.

"Kita sedang berbincang dengan jawatankuasa penganjur untuk pastikan tahap keselamatan terutama di kawasan perkampungan sukan berada pada tahap yang memuaskan.

"Saya sudah pesan kepada pegawai-pegawai kontinjen kita supaya sentiasa berwaspada, pastikan barangan bernilai tidak terdedah dan atlet juga diingatkan agar tidak membawa barang bernilai serta wang tunai bersama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan peserta program latihan amali Pengajian Islam di sini Selasa.

Beliau turut mengingatkan agar atlet tidak mudah hilang fokus berikutan masalah keselamatan serta penganjuran temasya itu.

Isu keselamatan timbul apabila pasukan berbasikal Australia dikejutkan dengan kecurian komputer riba di perkampungan Sukan Olimpik, yang dikhuatiri mengandungi maklumat sulit pelumba mereka.

Ketua Kontinjen Australia Kitty Chiller berkata agak sukar untuk mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab kerana terlalu ramai orang berada dalam perkampungan itu dan ada antaranya tidak memiliki kad akreditasi.

Dalam pada itu, Khairy turut mengulangi keyakinan terhadap kemampuan kontinjen negara untuk meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik pada temasya berprestij itu kali ini.

"Kita perlu yakin sebab itu adalah objektif kita sekian lama. Kita sudah buat yang terbaik dari segi persiapan, cuma kita akan lihat apa yang akan berlaku pada hari itu (pertandingan)," katanya.

Khairy dijangka berlepas ke Rio de Janeiro untuk menyertai kontinjen negara pada 11 Ogos ini.

Seramai 32 atlet negara dari 10 acara sukan, layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, yang akan membuka tirai secara rasmi pada 5 Ogos. - BERNAMA


Sukan Olimpik, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain