suria

Hatrik Spasojevic Kukuhkan Kedudukan Melaka United

Ilija Spasojevic.

KUALA LUMPUR: Hatrik pemain import Ilija Spasojevic memastikan Melaka United kekal mendahului carta Liga Perdana.

Pemain dari Montenegro itu bertindak cemerlang untuk membantu Melaka United bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum menundukkan UiTM FC 3-2 di Stadium UiTM, Shah Alam, petang Jumaat.

Spasojevic menghasilkan golnya pada minit ke-13, 56 dan 76 bagi memadam kelebihan tuan rumah yang mendahului dua kali menerusi jaringan pemain kelahiran California, Amerika Syarikat, John Landa Matkin seawal minit keempat diikuti gol kedua pada minit ke-50 oleh Nik Syafiq Syazwan Nik Min.

Kemenangan itu membolehkan Melaka United berada di persada liga dengan 42 mata diikuti Johor Darul Ta'zim (JDT) II (37) dan PKNS FC (33).

Dalam perlawanan sengit memburu tempat kedua dan ketiga antara JDT II dan PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, tuan rumah menang dengan keputusan 1-0.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, pemain Harimau Selatan dari Brazil, Paulo Rangel akhirnya mengegarkan gawang lawan pada minit ke-69.

Kuala Lumpur pula sekadar menambah satu mata apabila seri 2-2 menentang Kuantan FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menerusi dua gol termasuk satu sepakan penalti, Diego Inostroza pada minit ke-28 dan 82m.

Dua gol Kuantan FA pula dijaringkan secara berturut-turut oleh Shahrul Aizad Zulkifli pada minit ke-70 dan 71.

Perlis bertukar kedudukan keenam dengan DRB Hicom selepas menang tipis 1-0 melalui jaringan tunggal seawal minit pertama oleh pemain Brazil, Charles Souza Chad di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu pula kemenangan berpihak kepada Sabah dengan keputusan 1-0 menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hasil jaringan Maxsius Musa pada minit ke-54.

Satu lagi perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menyaksikan Negeri Sembilan seri 1-1 dengan Sime Darby FC.

Gol Sime Darby FC dan Negeri Sembilan, masing-masing dihasilkan Mohd Faizal Ab Aziz pada minit keempat dan Alexander Smith pada minit ke-79. - BERNAMA

hatrik, Melaka United

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana

Artikel Berikut

Artikel Lain