suria

Malaysia Gagal Lepasi Pusingan Penyingkiran

RIO DE JANEIRO: Harapan Malaysia untuk menampilkan aksi  lebih terpuji dalam acara memanah pada Sukan Olimpik Rio, berkecai apabila pasukan recurve lelaki gagal melepasi pusingan penyingkiran selepas tewas 2-6 kepada Perancis, di sini, Sabtu.

Trio negara yang dibarisi Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan  Muhammad Akmal Nor Hasrin, yang pertama kali beraksi di pentas Olimpik, sekadar mengumpul 214 mata, manakala gandingan Perancis meraih 220 mata untuk bertemu Itali di suku akhir.

Jurulatih negara Lee Jae Hyung berkata pemanah negara gagal menyerap tekanan ketika beraksi dalam saingan yang sangat sengit itu.

Hadir ke Rio dengan harapan tinggi untuk mara ke separuh akhir, trio negara menampilkan aksi longlai apabila menamatkan cabaran di kedudukan terakhir daripada 12 pasukan dalam aksi menentukan ranking, semalam.

Rekod Malaysia pada Olimpik lebih mengecewakan di Rio selepas berada di kedudukan keempat dan layak ke suku akhir di Olimpik 2008 di Beijing, menduduki ranking ke-10 di Olimpik 2012 di London dan ke-12 di Rio.

Ketua kontinjen, Tan Sri Muhammad Al Amin Abdul Majid, yang turut berada di venue menyaksikan pusingan kalah mati itu, jelas kecewa dengan prestasi pasukan pemanah negara, namun mengakui Perancis bernasib baik hari ini.

Beliau berkata Muhammad Akmal yang membuat penampilan sulung dan kurang pengalaman ternyata tidak dapat memantapkan pasukan, sedangkan trio negara sepatutnya boleh mempamerkan aksi lebih baik.

"Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana pasukan itu sepatutnya mempunyai anggota yang sama kuat," katanya.

Trio negara itu akan bersaing dalam pusingan individu pada Isnin.

Untuk rekod, Khairul berada di ranking ke-22, Haziq (50) dan Akmal (55) daripada 64 pemanah di Rio.

Artikel Lain