suria

Piala Kementerian: Wan Rohaimi Puas Hati Aksi Pemain

PETALING JAYA: Sekolah Menengah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Menengah Seberang Temerloh (SMST) terus berada di kedudukan selesa untuk menempah tiket beraksi di suku akhir Liga Super Piala Kementerian Pelajaran Malaysia (B-14) setelah masing-masing melakar kemenangan dalam aksi yang berlangsung Sabtu.

Jurulatih SSM Bukit Jalil, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemainnya meskipun bermain di bawah kekuatan sebenar setelah kehilangan khidmat beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan. 

“Agak kecewa dengan gol-gol mudah yang dilepaskan kepada Za’ba tetapi secara keseluruhan mereka bermain lebih baik di separuh masa kedua. Banyak kelemahan masih perlu diperbaiki seperti pertahanan yang nampak goyah. 

“Kita harus ingat, di peringkat pembangunan, kemenangan atau kejuaraan adalah bukan sesuatu yang diutamakan. Apa yang penting adalah cara mereka bermain. Tidak guna kita menang hari ini tetapi pemain tidak dapat belajar apa-apa dari kemenangan tersebut,” jelas Wan Rohaimi. 

Tiga mata yang diraih, membantu SSBJ kembali ke puncak liga dengan 25 mata, mengatasi SMK Seberang Temerloh dengan hanya beza jaringan. SMK Seberang Temerloh pula meneruskan rentak kemenangan setelah menundukkan pasukan tangga ketiga, SMK Bukit Nenas 2-0 di gelanggang lawan. 

Gol buat wakil Pahang itu dijaringkan Azrul Haikal Ramli pada minit keempat dan Nasrullah Md Zaki pada minit akhir perlawanan. 

Selain itu, pada aksi hujung minggu lalu di Kota Bharu, wakil tuan rumah SMK Putera terus mempamer prestasi buruk apabila tewas 0-1 kepada SMK Seksyen 11 dari Selangor, hasil jaringan tunggal Muhsin Johan pada minit ke-27. 

Kemenangan buat SMK Seksyen 11 menyaksikan mereka di kedudukan kelima dengan 17 mata, ketinggalan hanya tiga mata di belakang pasukan tangga keempat SMK Tunku Mahkota Ismail dan terus menyalakan peluang untuk memburu tempat di suku akhir. 

Satu lagi perlawanan membabitkan pasukan di kelompok bawahan menyaksikan SMK Syed Hassan dari Perlis menewaskan SMK Tabuan Jaya 2-1. 

Bagi aksi Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan, SMK Gunung Rapat kekal sebagai pendahulu dan menghampiri suku akhir meskipun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang SMK Seri Titiwangsa di Ipoh. 

Empat pasukan teratas Liga Super dan Liga Perdana akan layak beraksi di peringkat suku akhir.

Piala Kementerian, Wan Rohaimi, SSBJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain