CLAUDIO Ranieri telah menandatangani kontrak baharu bersama Leicester City sehingga tahun 2020. Juara kelab Liga Perdana Inggeris mengikat pegendali kelahiran Itali itu selepas mencatat kejayaan luar biasa musim lalu. "Ketika bertemu pemilik kelab dan berbincang mengenai visi Leicester City, saya sedar ada sesuatu yang saya inginkan untuk tempoh jangka masa panjang. "Semangat yang ada di kelab ini, sama ada dari pemilik kelab, semua staf, pemain-pemain dan juga penyokong merupakan sesuatu yang sangat istimewa. "Saya sangat gembira dan bangga kerana menjadi sebahagian daripada mereka untuk tahun-tahun seterusnya," ujar Ranieri di laman rasmi kelab tersebut. Ranieri berjaya membawa Leicester ke kemuncak kejayaan ketika musim pertama menguruskan kelab ini. Sentuhan jurulatih berusia 64 tahun ini dianggap mmagis apabila sebelum itu The Foxes menamatkan saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan, namun musim lalu mengekalkan posisi teratas liga perdana. Jelas pemilik kelab dari Thailand Aiyawatt Srivaddhanaprabha: "Dua belas bulan lalu, kami telah membawa masuk seorang lelaki yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman ke Leicester City dan yakin dia boleh membawa kami ke fasa seterusnya dalam tempoh jangka masa panjang. "Apa yang dicapai kami masa ini adalah di luar jangkaan," jelasnya. Dalam pada itu, Leicester bakal menyertai kempen Liga Juara-Juara yang dijangka sengit dalam saingan kumpulan apabila diundi bertemu Borussia Dortmund, Atletico Madrid dan Sevilla.