suria

Moyes Ikat Dua Pemain United

McNair dan Love mengikat kontrak bersama Sunderland selama empat tahun.

DAVID Moyes terus memperkukuhkan Sunderland dengan membawa masuk bekas anak buahnya, Paddy McNair dan Donald Love dari Manchester United.

Sunderland membayar kira-kira 5.5 juta pound untuk mendapatkan khidmat dua pemain pertahanan itu.

Kedua-duanya menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Black Cats.

Moyes yang mengambil alih kerusi panas yang ditinggalkan Sam Allardyce terlebih dahulu mengikat Papy Djilobodji dari Chelsea sebelum membawa masuk McNair dan Love ke Stadium of Light pada musim panas ini.

Kedua-dua pemain itu yang berusia 21 tahun tiada dalam perancangan pengurus baharu United, Jose Mourinho pada musim ini. Ini bermaksud mereka bekerjasama semula dengan Moyes di Sunderland hanya beberapa hari saingan Liga Perdana Inggeris membuka tirainya.

"Paddy pemain muda yang banyak melakukan peningkatan setiap masa.

"Dia ada pengalaman bersama Ireland Utara dan kami mahu membawa masuk ramai pemain kebangsaan ke dalam kelab selagi yang boleh," kata Moyes.

Laluan Moyes nampak sukar pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris apabila skuad kendaliannya akan bertemu Manchester City pada Sabtu ini.

David Moyes, Manchester United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain