suria

Olimpik: Atlet Bertudung AS Raih Gangsa

RIO DE JANEIRO: Atlet lawan pedang Amerika Syarikat (AS), Ibtihaj Muhammad menyertai Sukan Olimpik Rio untuk membuktikan bahawa wanita Islam di AS boleh berjaya dalam sukan.

Beliau bagaimanapun kembali semula ke New Jersey dengan membuktikan kata-katanya itu adalah benar.

Ibtihaj yang menjadi atlet AS pertama di Olimpik yang memakai hijab ketika kejohanan awal minggu ini, memenangi pingat gangsa, awal pagi Ahad dalam acara sabre berpasukan.

AS menundukkan Itali 45-30 untuk tempat ketiga dan pingat pertama buat pasukan lawan pedang AS di Rio.

"Ini adalah perjalanan yang jauh buat kami.

"Untuk bersaing pada tahap yang kami sudah usahakan, di pentas tertinggi dunia, temasya Olimpik, ia suatu anugerah buat kami. ... Saya tidak akan lupakan saat ini," kata Ibtihaj.

Nama Ibtihaj menjadi tajuk utama seluruh dunia apabila muncul atlet AS pertama memakai tudung pada temasya empat tahun sekali itu.

Tumpuan terhadap acara berpasukan itu bagaimanapun lebih terarah kepada acara lawan pedang dan Ibtihaj mengingatkan orang ramai kenapa dia dipilih menyertai pasukan Olimpik itu.

Sementara itu, rakan sepasukan Ibtihaj, Dagmara Wozniak berkata tidak kira apa agama dan warna kulit anda, perkara yang perlu diberi tumpuan adalah mempamerkan aksi terbaik.

"Ini adalah sukan. Tidak kisah apa warna rambut anda atau apa agama anda. Yang penting ialah beraksi di luar sana dan menjadi atlet terbaik. AS menjadi contoh terbaik di mana campuran pelbagai budaya dan bangsa, dan semuanya bersatu," kata Wozniak.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain