RIO DE JANEIRO: Atlet perahu layar negara, Khairulnizam Mohd Afendy muncul sebagai tiga pelayar terbaik Asia dalam acara Laser Standard lelaki di Sukan Olimpik di teluk Guanabara kira-kira 45km dari sini pada Sabtu. Bagaimanapun, beliau menamatkan perlumbaan dengan menduduki tempat ke-35 dalam kalangan 46 peserta selepas 10 perlumbaan dengan mata penalti 328 memperbaiki kedudukannya di tempat ke-47 berbanding 49 dalam edisi sebelum ini di London, empat tahun lalu. Dalam dua perlumbaan peringkat akhir hari ini, Khairulnizam berada di kedudukan ke-31 selepas sembilan perlumbaan dan melonjak ke tangga 28 dalam perlumbaan akhir. Perlumbaan itu didahului atlet perahu layar dari Croatia, Tonci Stripanovic dengan 85 mata penalti. Sepuluh pelayar terbaik mara untuk pusingan mendapatkan pingat pada Isnin. Atlet Korea Selatan Ha Jeemin menamatkan perlumbaan sebagai pelayar terbaik Asia pada kedudukan ke-13 diikuti Colin Cheng dari Singapura (ke-20), Khairulnizam (ke-35) dan Keerati Bualong dari Thailand di tempat ke-37. Sementara itu, atlet wanita negara bagi acara perahu layar di Sukan Olimpik, Nur Shazin Mohamad Latif mengekalkan kedudukan di tangga ke-33 daripada 37 pesaing selepas menamatkan perlumbaan dalam acara Laser Radial. Bagi pelayar terbaik Asia, atlet dari China, Xu Lijia menduduki tempat ke-18 diikuti Manami Doi dari Jepun di tempat ke-20 dan Elizabeth Yin dari Singapura di tempat ke-26.