RIO DE JANEIRO: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mencatat keputusan mengejut apabila menjinakkan pilihan keempat Fu Haifeng-Zhang Nan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B acara badminton Sukan Olimpik, pada Sabtu. Pasangan negara terpaksa bangkit daripada kekalahan sebelum menjinakkan gandingan China itu 16-21, 21-15, 21-18 dalam aksi selama 62 minit, untuk menjuarai kumpulan tersebut, sekali gus menempah pertemuan dengan naib juara kumpulan di suku akhir, Isnin ini. Undian suku akhir akan dilangsungkan pada Ahad. Begitupun, nasib berbeza dialami beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang akan berdepan lawan sukar di suku akhir selepas hanya menjadi naib juara Kumpulan C, apabila tewas kepada pilihan ketiga Nitya Krishninda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia 19-21, 19-21. Nitya-Greysia mengambil masa 55 minit untuk mengekalkan rekod bersih dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan bagi memastikan mereka menjuarainya. Sebaliknya pasangan negara yang menduduki ranking ke-15 dunia, hanya menang dua perlawanan kumpulan selepas menundukkan Heather Olver-Lauren Smith dari Great Britain 21-17, 24-22 pada Khamis dan pasangan Hong Kong, Poon Lok Yan-Tse Ying Suet 21-15, 21-13 sehari selepas itu. "Pasangan Indonesia itu adalah lawan yang sukar...kami terlalu gembira mendapat mata pantas dan pada masa sama melakukan banyak kesilapan," kata Woon. Mengenai lawan pilihannya, Woon memilih pilihan kelima dari Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan daripada beregu nombor satu dunia, Matsutomo Misaki-Takahashi Ayaka dari Jepun. "Persembahan kami semakin baik dari sehari ke sehari dan saya harap ia akan mencapai kemuncaknya ketika mengharungi peringkat kalah mati," katanya. Sementara itu, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tewas dalam perlawanan terakhir Kumpulan C di tangan bekas juara dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir yang hanya memerlukan 27 minit untuk menang 21-7, 21-8. Perseorangan wanita wanita, Tee Jing Yi membuka kempen Kumpulan K dengan kemenangan 22-20, 21-15 ke atas Kristina Gavnholt dari Republik Czech. Jing Yi yang berharap dapat melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan keduanya di Sukan Olimpik, hanya memerlukan 41 minit untuk menang dan akan menentang pemain Jepun, Akane Yamaguchi pada Ahad. Tewas dua kali kepada pemain Jepun itu sebelum ini di Terbuka Indonesia 2015 dan Sukan Asia 2014, Jing Yi perlu menang jika mahu memastikan kemaraannya ke pusingan kedua. "Saya agak gemuruh dalam set pertama dan melakukan banyak kesilapan. Bagaimanapun, saya bermain lebih baik di set kedua dan memberi tumpuan kepada servis untuk mengutip mata. "Selepas kemenangan ini, saya mahu fokus untuk menundukkan pemain Jepun itu kerana pernah tewas dua kali kepadanya," katanya. Jika beliau dapat mengatasi pemain Jepun itu, Jing Yi berkemungkinan menentang pemain nombor empat dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon di pusingan kedua pada Isnin. - BERNAMA