RIO DE JANEIRO: Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mara ke separuh akhir apabila mengalahkan pasangan Poland pada Olimpik Rio di sini Ahad. Mereka mengambil masa 46 minit untuk mara ke slot empat terakhir yang merupakan kejayaan terbaik olimpik selepas terkeluar pada peringkat kumpulan di Olimpik London 2012. Pasangan selama hampir enam tahun ini menunjukkan persefahaman lebih baik untuk menang 21-17, 21-10 ke atas pasangan Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba di suku akhir. Namun pasangan Malaysia akan berdepan pasangan China, Xu Chen-Ma Jin di peringkat separuh akhir selepas pasangan China itu mengambil masa 50 minit untuk membuat kejutan ke atas pasangan kedua terbaik dunia dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na 21-17, 21-18 dalam satu lagi perlawanan suku akhir. "Persefahaman antara kami meningkat di atas gelanggang dan menghadapi pasangan China merupakan tugas sukar kerana rekod menyebelahi mereka. "Namun kami akan sekali lagi membuat yang terbaik," kata Liu Ying selepas perlawanan mereka. Dalam separuh akhir yang lain pada Isnin, pilihan utama Zhang Nan-Zhao Yunlei akan berdepan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyanas Natsir. Pasangan China itu mengalahkan pasangan Jepun, Kenta Kazuno-Ayana Kurihara 21-14, 21-12 dalam masa 46-minit sementara pilihan ketiga daripada Indonesia mengenepikan rakan senegara Praveen Jordan/Debby Suxsanto 21-16, 21-11 dalam satu lagi perlawanan.