suria

Tengku Abdullah Kekal Presiden FAM, Pemilihan Diawalkan

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

PETALING JAYA: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin sebulat suara menolak hasrat presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletak jawatan.

Sebaliknya, jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat hampir lima jam di Wisma FAM di sini mengambil keputusan untuk mengawalkan pemilihan baharu barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu yang dijadualkan dua tahun lagi ke tahun depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata susulan keputusan yang dicapai secara kolektif itu akan menyaksikan Tengku Abdullah kekal sebagai presiden sehingga pemilihan baharu diadakan.

Jelas Apandi, jawatankuasa eksekutif FAM memahami hasrat Tengku Abdullah dan mencapai kata putus untuk mengawalkan pemilihan tersebut atas dasar tanggungjawab bersama serta menghormati keputusan presiden untuk meletak jawatan.

"Kami membincangkan perkara ini semasak-masaknya dan berpendirian atas dasar semangat dan tanggungjawab bersama kami dan presiden selain menghormati keputusan presiden, barisan exco bersetuju untuk mengawalkan pemilihan semula barisan kepimpinan FAM daripada 2018 kepada 2017.

"Namun buat masa ini Tengku Abdullah akan kekal bersama dalam barisan kepimpinan FAM. Kepimpinan sedia ada akan terbubar sehingga tarikh pemilihan," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Mandat barisan kepimpinan FAM sedia ada akan berakhir pada 2018.

Menurut Apandi, sekretariat kongres akan mengemukakan beberapa cadangan tarikh yang sesuai untuk pemilihan itu diadakan mengikut garis panduan dan peraturan jawatankuasa status FAM.

"Pihak sekretariat diminta mengemukakan beberapa tarikh cadangan untuk disahkan pada mesyuarat exco yang akan datang sebagaimana ketetapan diperlukan jawatankuasa status FAM," katanya.

Ketika ditanya mengenai faktor yang mendorong pemilihan itu diadakan pada tahun depan dan bukannya pada tahun ini, Apandi berkata FAM mempunyai beberapa agenda lain yang perlu diselesaikan.

"Kita ada kejohanan Piala AFF Suzuki pada November, jadi kita tak mahu terburu-buru dalam semua hal. Namun kita mahu selesaikan juga gerak kerja kita tahun ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain