PEMAIN tengah Riyad Mahrez tampil memberi penjelasan bahawa hanya dua atau tiga kelab yang boleh menarik minatnya untuk meninggalkan Leicester City yang disertainya sekarang. Mahrez membuat kenyataan tersebut setelah beberapa bulan spekulasi perpindahannya timbul, namun sehingga sekarang pemain antarabangsa Algeria itu masih kekal bersama The Foxes walaupun jendela perpindahan bakal berakhir tidak lama lagi. "Ini adalah aksi liga super dan saya mahu berada di sini selama yang boleh. "Kini hanya dua atau tiga kelab sahaja yang boleh membuatkan saya pergi kepada mereka sekiranya mendapat tawaran," jelasnya tanpa menyebut nama-nama kelab itu. Pemain Terbaik PFA berusia 25 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan kelab Arsenal dan Chelsea. Sementara itu, kelab juara musim lalu ini memulakan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kekalahan 2-1 kepada Hull City selaku kelab baharu dalam liga musim ini. Skuad kendalian Claudio Ranieri ini bakal berdepan dengan Arsenal pada aksi kedua pada Sabtu ini.