KUALA LUMPUR: Persaingan merebut kejuaraan Liga Super semakin sengit selepas dua pasukan tangga teratas, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United mencatat kemenangan selesa ke atas lawan masing-masing, malam Selasa. JDT yang juga pendahulu liga serta juara bertahan, menang besar 4-0 ke atas Polis Diraja Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hasil jaringan Juan Martin Lucero pada minit keenam dan 85' serta Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-10 dan masa kecederaan babak pertama perlawanan. Felda United pula mengalahkan Pahang 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil gol daripada Zah Rahan Krangar pada minit ke-39, Muhd Shukor Adan (minit ke-43) dan Francis Forkey Doe, selang empat minit kemudian. Kedah pula memintas kedudukan Selangor di tangga ketiga liga selepas menang tipis 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Dua gol skuad Lang Merah terhasil menerusi gol sendiri pemain Sarawak, Tommy Mawat Bada pada minit ke-64 dan sepakan penalti oleh Liridon Krasniqi pada minit ke-73 manakala Makeche Ndumba menyumbang gol tunggal untuk Sarawak pada minit ke-51. Kelantan pula terus merekodkan kemenangan selepas menang tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. Tiga gol skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dijaringkan oleh Wander Luiz Junior pada minit ke-18 dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ketujuh dan minit ke-77. Dua gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh Matias Cordoba pada minit ke-20 dan Ranti Martins pada minit ke-45. Dalam pada itu, Selangor dan T-Team gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah hanya mengutip satu mata ketika berdepan lawan masing-masing. Selangor seri 1-1 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam manakala T-Team dan Perak seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - BERNAMA