JAGUH pecut dunia, Usain Bolt mara ke pusingan akhir acara 200 meter selepas menamatkan larian di belakang atlet Kanada, Andre De Grasse. Pelari Jamaica itu hanya tersenyum melepasi garisan penamat dengan catatan masa 19.78s dan membiarkan De Grasse di hadapannya. "Dia sepatutnya memperlahankan larian, tetapi tidak berlaku. "Saya hanya menjerit 'apa yang kamu lakukan, ini hanyalah separuh akhir', tetapi katanya dia perlu memberi tekanan kepada saya, jadi apa-apa sahajalah," jelas Bolt. Bagaimana pun acara ini turut menyaksikan kejutan apabila Justin Gatlin gagal ke final dengan persembahan larian yang mengecewakan. Gatlin,34, sebelum ini dijangka akan berada dalam kelompok akhir apabila memulakan larian di lorong ketiga, namun hanya menamatkan larian dengan catatan 20.13s. Pelari Amerika Syarikat itu antara pesaing terdekat Bolt yang meraih pingat perak pada aksi 100m sebelum ini. "Semua orang terkejut, saya tidak tahu. "Kamu boleh memberitahunya dari jarak 100m bahawa dia semakin tua," ujarnya selepas melihat pencabar utamanya itu tersingkir. Selain itu, rakan Bolt yang juga bekas juara 100m dunia, Yohan Blake turut gagal ke aksi akhir apabila tamat di tempat keenam. Sebagai rekod, Bolt sebelum ini turut meraih emas dalam acara 100m sekaligus mencatat rekod atlet pertama meraih pingat emas pada tiga Sukan Olimpik berturut-turut.