PETALING JAYA: Impian Malaysia untuk memperolehi emas pertama menerusi acara badminton beregu campuran tidak kesampaian apabila gandingan negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying kecundang di tangan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir pada aksi final Olimpik Rio, awal pagi Khamis. Perlawanan di gelanggang Pavilion 4, Riocentro yang penuh mendebarkan itu menyaksikan Peng Soon/Liu Ying tewas straight set 14-21, 12-21. Peng Soon/Liu Ying, beregu ranking ke-11 dunia melakukan beberapa kesilapan berulang apabila membenarkan pasangan Indonesia itu melakukan smash. Kekuatan Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir yang juga beregu ranking ketiga dunia terletak pada pukulan smash yang dilakukan. Corak serangan pantas pasangan Indonesia itu menyebabkan Peng Soon/Liu Ying lebih banyak melakukan taktik bertahan. Meskipun gagal menyekat ketangkasan gandingan Indonesia yang mara ke final selepas menundukkan juara Olimpik 2012 dari China, Zhang Nan/Zhao Yunlei, pencapaian Peng Soon/Liu Ying patut dibanggakan kerana muncul beregu campuran pertama negara beraksi di final Olimpik. Pingat perak yang dimenangi gandingan itu adalah pingat ketiga bagi Malaysia selepas aksi cemerlang penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang turut meraih perak dalam acara 10 meter platform seirama manakala pelumba basikal elit negara, Azizulhasni Awang menyumbang gangsa menerusi acara keirin.