KEDAH mengakhiri saingan Kumpulan A Piala Malaysia dengan kemenangan 3-0 ke atas Sarawak di Kuching pada Jumaat malam. Lebih bermakna, kemenangan itu mencapai sasaran skuad hijau kuning untuk tidak tidak bertemu Felda United pada peringkat suku akhir selepas ini. Pada perlawanan itu, Kedah yang menurunkan kesemua pemain terbaiknya berjaya menguasai permainan sejak awal perlawanan. Pada minit ketiga, Kedah hampir memperolehi penalti apabila Farhan Roslan ditolak dalam kotak penalti, pengadil perlawanan Khirulazwan Khidam meneruskan permainan. Permainan yang semakin rancak dengan serangan daripada kedua-dua pasukan bagaimanapun gahal memecah kebuntuan jaringan. Pada minit ke-43 Liridon Krasniqi hampir menjaringkan gol, malangnya tandukan pemain dari Kosovo itu terkena palang. Kedudukan 0-0 kekal sehingga separuh masa pertama ditamatkan oleh pengadil perlawanan. Bersambung babak kedua Kedah pantas bangkit dan hasilnya kusian Thiago Augusto Fernandez berjaya menjadikan Kedah di depan dengan 1-0. Pada minit ke-70 pasukan pelawat terus mengukuhkan kedudukan apabila hantaran Farhan mudah ditolak masuk ke dalam gawang Sarawak oleh Liridon. Bagi memastikan perjalanan jauh ke Kuching berbaloi anak didik Tan Cheng Hoe terus berusaha untuk mendapatkan gol ketiga. Usaha tanpa henti itu akhirnya membuahkan hasil apabila tonggak pertahanan, Bang Seung Hwan menanduk masuk hantaran lintang Liridon - tiga minit sebelum perlawanan tamat.