suria

Azizul Sedia Jadi Mentor Pelapis Lumba Basikal Negara

Azizulhasni bersama Fatehah dan jurulatih mereka, John Beasley pada program Ride With Olympian di Elmina Pavilion, Sabtu pagi.

SHAH ALAM: Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio, Azizulhasni Awang berhasrat menggilap bakat pelapis sukan berbasikal bagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Jaguh berbasikal negara itu berkata, beliau bersedia menjadi mentor jika impian untuk mencungkil bakat baharu menerusi sukan kegemarannya itu dapat direalisasikan.

"Daripada dulu lagi kita perlukan pelapis dan jurulatih saya, John Beasley juga ada merancang ke arah itu.

"Saya memang menunggu kedatangan pelumba pelapis kerana ingin menjadi mentor kepada mereka dan menurunkan sebanyak ilmu yang mungkin, katanya ketika ditemui dalam acara berbasikal anjuran Sime Darby pada Sabtu.

Menurut Azizulhasni yang lebih dikenali dengan gelaran The RocketPocketMan itu berharap pelan dan struktur baharu dari Kementerian Belia dan Sukan mampu mencari bakat pelapis  yang lebih berwibawa dan berdedikasi.

"Semestinya saya tidak mampu berkayuh selama-lamanya dan sampai satu tahap saya perlu berhenti.

"Sebelum saya berundur dalam karier ini, saya mahukan pelumba lain meneruskan legasi sukan berbasikal di Malaysia," katanya.

Pelumba kelahiran Dungun ini merangkul gangsa pada final acara keirin Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro pada Rabu lalu.

Sementara itu, seramai 150 peserta menyertai acara berbasikal yang dianjurkan Sime Darby di Elmina Pavilion, Seksyen U16 di sini.

Turut hadir dalam acara ini Pengarah Urusan Sime Darby, Datuk Jauhari Hamidi, Azizulhasni Awang, pelumba negara, Fatehah Mustafa dan Jurulatih lumba basikal negara, John Beasley.


Artikel Sebelum

Isinbayeva Umum Persaraan

Artikel Berikut

Artikel Lain