KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Goh Liu Ying menyifatkan kejayaannya merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Rio, menjadikan impian dan fantasinya menaiki podium pada temasya sukan itu satu realiti serta membuatkan dia berasa bangga sepanjang hayatnya. "Pada ketika saya berdiri di atas podium dan menyaksikan Jalur Gemilang dikibarkan, air mata saya mengalir. Ini apa yang saya impikan, tetapi tidak berani...kerana ada terlalu ramai pemain (berada di kedudukan) lebih atas daripada kami," katanya dalam laman Facebook beliau. Beliau menulis: "Adakah saya benar-benar menang? Adakah ia satu mimpi?" katanya yang memenangi pingat perak dalam acara beregu campuran pada Sukan Olimpik Rio. Pasangan negara itu tumpas kepada gandingan nombor tiga dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 14-21, 12-21. Menyifatkan dirinya tidak memiliki susuk tubuh sebagai seorang atlet, adalah antara punca beliau tidak dapat menyempurnakan latihan yang telah diatur oleh jurulatih. Beliau hanya mampu melakukan sebahagian daripada latihan yang sudah ditetapkan, dan tidak dapat membina otot sama seperti atlet lain. Justeru, beliau berkata dia lebih mudah mendapat kecederaan disebabkan kurang perlindungan terhadap otot, dan tidak dapat mencurahkan sepenuh tenaga semasa latihan. "Saya telah menjalani pembedahan lutut dua tahun lepas, hanya untuk beraksi di arena Olimpik," katanya. Mengenai kekalahan kepada pasangan Indonesia itu di pentas akhir, Goh berkata: "Kami tidak mampu untuk memberi tentangan yang sengit." - BERNAMA