BARCELONA mendedahkan mereka sudah memulakan rundingan dengan Manchester City berhubung perpindahan penjaga gol Claudio Bravo ke England. Setiausaha Teknikal Barca, Robert Fernandez berkata: "Kami sedang menunggu proses itu berlaku minggu ini. Apabila Claudio pergi, kami berharap dapat mencari penjaga gol baharu." Ketibaan penjaga gol Chile berusia 33 tahun itu akan meletakkan penjaga gol England, Joe Hart sebagai pilihan ketiga City dibawah pengurus baharu, Pep Guardiola. Hart, 29, sedang mempertimbangkan untuk berhijrah ke kelab lain selepas digugurkan daripada skuad utama City. Guardiola memilih untuk menurunkan Willy Caballero. Bekas pengendali Barcelona itu pada Jumaat berkata Hart boleh meninggalkan City sekiranya dia mahu berbuat demikian. Everton dan Sevilla dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Hart turut dilaporkan menolak untuk menyertai Sevilla atau kelab berpangkalan di Jerman, Borussia Dortmund yang turut dikaitkan dengannya.