PEMAIN tengah Manchester United Bastian Schweinsteiger menegaskan Red Devils akan menjadi kelab terakhirnya di Eropah. Selepas timbul khabar angin dia mahu meninggalkan Old Trafford, pemain kelahiran Jerman itu menegaskan United merupakan kelab terakhirnya di pentas Eropah. Pemain berusia 32 tahun itu disisihkan hampir dalam setiap perlawanan oleh Pengurus Jose Mourinho. Berikutan itu, beberapa penyokongnya meminta dia kembali ke Bayern Munich selepas kecewa dengan layanan yang diterimanya di England. Namun Schweinsteiger menerusi laman Twitternya berkata: "MUFC akan menjadi kelab terakhir saya di Eropah. Saya menghormati kelab lain tetapi Manchester United satu-satunya kelab yang membuatkan saya mengubah fikiran untuk meninggalkan Bayern Munich. "Saya akan bersedia jika pasukan memerlukan saya. Ini apa yang boleh saya katakan selepas mengambil kira situasi terkini. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong di atas segala sokongan menakjubkan sejak beberapa minggu ini," katanya. Schweinsteiger menyertai United pada musim panas lalu dari Bayern Munich. Namun dia sering bergelut dengan kecergasan dan tidak berada pada prestasi terbaiknya sehingga menyebabkannya jarang diturunkan semasa di bawah Louis van Gaal.