KESATUAN Bola Sepak Eropah (UEFA) telah selesai menjalankan proses pengundian peringkat kumpulan bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/17, di Monaco, awal pagi Jumaat. Undian dilakukan oleh legenda-legenda bola sepak dunia seperti bekas pemain Brazil, Roberto Carlos, bekas pemain Belanda, Ruud van Nistelrooy dan Clarence Seedorf serta bekas pemain Liverpool Ian Rush. Legenda bola sepak Arsenal, Thierry Henry turut dijemput untuk mencabut undi. Berdasarkan hasil undian, juara bertahan Real Madrid berada di Kumpulan F bersama Borussia Dortmund, Sporting. Kumpulan C bakal menyaksikan saingan menarik apabila kelab raksasa Sepanyol, Barcelona kembali bertemu Manchester City, yang kini dibimbing Pep Guardilola. Juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City pula berada dalam kelompok pasukan yang tidak kurang hebatnya. Berada dalam Kumpulan G, Leicester bakal bertemu Porto dan Brugge. Sementara itu, Atletico Madrid kembali berdepan dengan Bayern Muenchen, pasukan yang mampu disingkirkan mereka di peringkat separuh akhir musim lalu. Mereka kini berada di Kumpulan D bersama juara Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven dan wakil Rusia, Rostov, yang menyingkirkan Ajax di babak play-off.