suria

"Saya Mahu Hendrawan Kekal" - Chong Wei

PETALING JAYA: Pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertimbangkan untuk mengekalkan jurulatih perseorangan lelaki dari Indonesia, Hendrawan untuk melatih skuad badminton negara.

Namun, Chong Wei berkata, terpulang kepada BAM untuk menentukan masa depan Hendrawan yang kontraknya akan tamat hujung tahun ini.

"Saya mahu beraksi pada Kejuaraan Dunia dan mahu Hendrawan kekal. Semua orang boleh nampak prestasinya dalam membantu Malaysia mendapat keputusan yang bagus.

"Dia sudah enam tahun di Malaysia. Dia turut bantu Iskandar begitu juga pemain lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa majlis penyampaian ganjaran kepada pemenang pingat perak dan gangsa pada Olimpik Rio 2016 oleh syarikat telekomunikasi tempatan, XOX Mobile di sini Jumaat.

Jelas Chong Wei, BAM perlu mengambil kira prestasi Hendrawan yang berjaya membantu dirinya merampas kembali ranking No. 1 dunia dalam tempoh kira-kira 14 bulan.

"Dia berjaya buktikan semasa bersama dengan saya. Selepas kes doping saya duduk di ranking ke-182 dunia tapi kira-kira 14 bulan saya kembali ke ranking No.1 dunia," katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, sentuhan Hendrawan diperlukan skuad kebangsaan dalam membantu negara merealisasikan misi membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik, Tokyo dalam masa empat tahun lagi.

"Hendrawan dan Tey Seu Bock perlu kekal dengan skuad kebangsaan dan bantu negara bangkit pada Olimpik 2020," katanya.

Difahamkan masa depan Hendrawan menjadi persoalan selepas berakhirnya Olimpik Rio 2016 dengan kontraknya bersama BAM bakal tamat pada hujung tahun ini.

Jurulatih dari Indonesia itu mula melatih Chong Wei sejak April tahun lalu dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberikan adalah memastikan pemain berusia 33 tahun berkenaan muncul juara dunia 2015 di Jakarta, Indonesia dan memenangi pingat emas Olimpik Rio 2016.

Terdahulu, Chong Wei menerima ganjaran sebanyak RM60,000 daripada syarikat telekomunikasi tempatan, XOX Mobile di atas pencapaiannya meraih pingat perak dalam aksi final perseorangan badminton di Olimpik, Rio 2016.

Malah, beliau turut menerima ganjaran sagu hati sebanyak RM50,000 kerana prestasi cemerlangnya dalam membawa jenama syarikat telekomunikasi itu.

Chong Wei merupakan duta XOX Mobile.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan terus mewakili negara selepas aksi Kejohanan Dunia tahun depan, Chong Wei berkata segalanya bergantung kepada keadaan fizikalnya pada ketika itu.

"Sebagai pemain kita tak tahu bila kita akan dilanda kecederaan. Saya harap saya bebas daripada sebarang kecederaan sehingga Kejohanan Dunia.  

"Selepas  itu jika keadaan saya masih bagus, saya akan terus beraksi. Jika tak bagus saya akan berhenti," katanya.

Selepas gagal meraih pingat emas di Olimpik, Chong Wei akan mensasarkan untuk beraksi pada Kejohanan Dunia tahun depan, pentas antarabangsa terakhir bagi dirinya memburu satu lagi gelaran utama.


Lee Chong Wei, Hendrawan, Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain