LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap kehadiran pemain baharunya, Shkodran Mustafi dapat mengekalkan bintang The Gunners, Mesut Ozil di Emirates dengan menandatangani kontrak baharu bersama kelab itu. Portal Mirror melaporkan, Ozil, 27, hanya berbaki dua tahun kontrak bersama Arsenal dan situasi itu memberi tekanan kepada Wenger untuk mengekalkan satu daripada pemain utamanya. Difahamkan, Ozil sudah berbincang tentang kontrak baharu tetapi rundingan itu tertangguh apabila dia mempersoalkan keupayaan Arsenal untuk memenangi trofi utama. Shkodran Mustafi Maka tidak hairanlah, Wenger sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat Mustafi dari Valencia bagi memantapkan skuad Arsenal pada musim ini. Ozil dan Mustafi dilaporkan merupakan kawan baik, dan Wenger berharap pemain baharu tersebut dapat menggunakan pengaruhnya mengekalkan Ozil. Selain Ozil, seorang lagi bintang Arsenal, Alexis Sanchez hanya berbaki dua tahun bersama The Gunners dan Wenger tidak akan melepaskan pemain kebangsaan Chile itu.