PENYERANG Sunderland, Fabio Borini ditepikan selama tiga bulan akibat kecederaan pangkal paha. Pemain berusia 25 tahun dari Itali itu memperolehi kecederaan tersebut selepas mengambil sepakan percuma ketika terikat 1-1 dengan Southampton pada Sabtu lalu. Ketiadaan Borini menyebabkan Sunderland terpaksa bergantung kepada Jermain Defoe, 33, disamping penyerang muda Swede Joel Asoro untuk memperkuat jentera serangan pasukan itu. Sunderland terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat penyerang Norwich, Steven Naismith, 29, pada hari terakhir pintu perpindahan pemain. Selain itu, antara beberapa penyerang lain untuk pasukan kendalian David Moyes itu adalah Duncan Watmore dan Adnan Januzaj yang berhijrah secara pinjaman dari Manchester United. "Kami berusaha keras untuk cuba mendapatkan penyerang pada pintu perpindahan tetapi tidak berjaya. "Kami perlu melihat barisan pemain sedia ada sebagai alternatif untuk diturunkan dari bangku simpanan atau sebagai pemain sandaran," kata Moyes.