GEORGE TOWN: Bagi meningkatkan prestasi pasukan sebelum bertemu PDRM FC dalam saingan Liga Super Sabtu depan, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) membawa pasukan terbaik liga Australia, Adelaide United FC untuk perlawanan persahabatan pada Sabtu. Ketua jurulatih Pulau Pinang Nenad Bacina berkata selepas pasukannya tewas kepada Perak 1-4 dalam saingan Liga Super pada 25 Ogos lepas, pasukan itu kini kembali ke tangga kedua terbawah liga. "Ini satu latihan yang baik buat pasukan dan saya berharap barisan pemain yang akan diturunkan dapat memantapkan gaya permainan mereka. Saya berharap mereka dapat mempelajari sedikit sebanyak taktik perlawanan dalam pertemuan menentang Adelaide United esok," kata Bacina pada sidang media, Jumaat. Sementara itu, kapten pasukan Harimau Kumbang, Matias Cordoba berharapra kan sepasukan dapat bermain dengan baik kerana ini pertemuan pertama pasukan itu dengan kelab antarabangsa. Pada masa sama, jurulatih Adelaide United FC Guillermo Amor yang merupakan bekas pemain Barcelona dan Sepanyol, berkata ini ialah perlawanan pertama anak didiknya bertemu pasukan dari Malaysia dan menganggap ia peluang yang baik untuk memantapkan pasukan sebelum bermula Liga A, 7 Oktober depan. Beliau juga berkata perbezaan cuaca antara Australia dan Malaysia bukan penghalang untuk pasukannya beraksi dengan baik esok. "Pasukan Adelaide United akan diketuai Eugene Galekovic dan saya berharap mereka dapat memperoleh ilmu yang berguna untuk perlawanan mereka semasa di Liga A nanti," katanya. Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Bandaraya pada 9 malam Sabtu, danTimbalan Presiden FAP Datuk Gary Nair mengharapkan peminat bola sepak negeri ini untuk bersama-sama hadir ke stadium bagi memberi sokongan. -Bernama