KUALA LUMPUR: Dua atlet paralimpik Malaysia yang meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio akan menerima ganjaran, masing-masing seunit kediaman suite dan kenderaan SUV serba baharu, Kia Sportage. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata kediaman suite yang dihadiahkan kepada Mohamad Ridzuan Mohd Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli itu adalah Trion 888 di Equine Park. Kediaman itu, yang dibangunkan oleh bahagian hartanah Naza Corporation Holdings, iaitu Naza TTDI Sdn Bhd berharga RM350,000 seunit. Ia berkeluasan 450kaki persegi dan mempunyai kemudahan lengkap seperti kolam renang, bilik serbaguna, gimnasium, bilik persalinan, lif, kemudahan dobi dan surau. Projek itu dijangka siap pada akhir 2017. Sementara, kenderaan SUV Kia Sportage berharga RM121,888 sebuah, dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. SM Nasarudin yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia dan kini berada di Rio, berkata pencapaian Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad itu bukan sahaja memberi inspirasi kepada atlet lain, namun kepada seluruh rakyat Malaysia. "Atlet paralimpik Malaysia telah menunjukkan kemampuan mereka walaupunberdepan banyak kesukaran. Ini menunjukkan bahawa Malaysia Boleh!," katanya. Pingat emas pertama negara dimenangi Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dengan catatan 12.07 saat, sekali gus memadam rekod kejohanan milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada2008. Pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad dengan rekod baharu dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran). Catatannya 16.84 meter itu mengatasi rekod lama 16.29m milik Todd Hodgetts dari Australia yang dilakukan pada Sukan Paralimpik 2012 di London. -Bernama