Datuk Lee Chong Wei mengetuai senarai penerima sumbangan wang tunai sebanyak RM20,000 dan kredit Celcom sebanyak RM10,000 yang diserahkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung BAM pada Selasa.
Pasangan regu lelaki, Goh V Shme dan Tan Wee Kiong serta pasangan regu campuran, Chan Peng Soon San dan Goh Liu Ying turut menerima penghargaan yang sama.
Selain itu, Celcom Axiata juga menyumbangkan sebanyak RM20,000 (RM10,000 wang tunai dan RM10,000 kredit Celcom) kepada tiga lagi atlet badminton negara iaitu Vivian Hoo, Woon Khe Wei dan Tee Jing Yi.
Dalam pada itu, Rosmah berkata, ganjaran yang diberikan kepada semua atlet tersebut setimpal dengan kejayaan yang dilakar pada kejohanan Olimpik.
"Malah saya yakin kita mampu meraih emas pada kejohanan Olimpik di Jepun," katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.
Terdahulu, Jamaluddin dalam ucapannya berkata, sebagai penaja utama BAM, Celcom Axiata akan terus menunjukkan komitmen untuk menyokong pembangunan sukan badminton di Malaysia.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana berpeluang memberi pengiktirafan kepada pasukan badminton Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di peringkat global.
"Badminton bukan sahaja sukan yang diminati dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi merupakan sukan yang memacu perpaduan sesama kaum.
"Para altet ini menunjukkan contoh bahawa kita mampu mencapai impian jika melakukan dengan sepenuh hati dan perasaan," katanya.