suria

Liga Europa: Mourinho Rehatkan Rooney

Wayne Rooney ketika menjalani sesi latihan, Rabu. -fotoAFP
PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney tidak akan diturunkan dalam perlawanan saingan Liga Europa, Khamis menentang pasukan Belanda, Feyenoord di Rotterdam.

Walaupun menjalani latihan pada Rabu, kapten berusia 30 tahun itu akan terlepas perlawanan pembukaan kelab-kelab Eropah.

Pengurus Jose Mourinho berkata, Rooney telah direhatkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Watford,  Ahad ini.

Phil Jones juga tidak hadir latihan selepas cedera ligamen lutut.

Kecederaan itu boleh menyebabkan pemain pertahanan itu tidak dapat diturunkan sehingga tempoh sebulan.

"Wayne telah bermain dalam setiap perlawanan sejak awal musim ini," kata Mourinho mengenai keputusannya untuk mengenepikan ketua pasukan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A.

"Dia juga telah bermain 90 minit untuk England dan telah bermain 90 minit hujung minggu lalu dan saya mahu dia turun dalam keadaan segar untuk perlawanan seterusnya. Mengenai posisinya, saya ada banyak penyelesaian."

Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu mengakui Liga Europa bukanlah satu pertandingan yang dimahukan kelab itu, tetapi ia menjadi pertandingan yang disasarkan untuk menang.

"Ia bukan impian besar bagi setiap pemain dengan nama besar, tetapi kita tidak berada dalam Liga Juara-Juara," tambahnya.

"Kita perlu melihatnya dengan penuh hormat. Saya fikir kita mahu melakukan yang terbaik dalam pertandingan ini dan untuk kelab, dimensi kami melakukan yang terbaik adalah untuk tidak terkeluar di peringkat kumpulan."


Untuk perlawanan pada Khamis, kapasiti di Stadium De Kuip akan dikurangkan kepada 30,000 dan pengawal tambahan akan dikerahkan, selain pagar 10 meter akan dipasang mengelilingi padang.

Feyenoord telah mengambil langkah-langkah ini dalam usaha mengelakkan sekatan Uefa berikutan masalah yang berlaku dalam perlawanan sebelum ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain