PETALING JAYA: Atlet paralimpik negara, Siti Noor Radiah Ismail menambah koleksi pingat keempat buat negara apabila menamatkan acara lompat jauh T20 wanita di tempat ketiga pada malam Khamis. Siti Noor Radiah, 22, menamatkan lompatan dengan catatan sejauh 5.20 meter. Seorang lagi atlet negara, Siti Noor Iasah Mohamad Arifin menamatkan lompatan di tempat keempat dengan perbezaan jarak 0.29m. Pingat emas menjadi milik Mikela Ristoski dari Croatia yang melakukan lompatan sejauh 5.79 meter. Atlet Poland, Karolina Kucharczyk pula menduduki tempat kedua apabila menamatkan lompatan dengan catatan 5.55 meter. Terdahulu pingat emas pertama negara diperoleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara larian pecut 100 meter T36. Selepas itu, Muhammad Ziyad Zolkefli menyumbang emas kedua menerusi acara lontar peluru sebelum Abdul Latif Romly melengkapkan emas ketiga dalam acara lompat jauh T20 lelaki.