MUAR: Bapa atlet paralimpik negara Siti Noor Radiah percaya kejayaan anaknya meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) di Rio De Janeiro, Brazil pada Khamis adalah hasil daripada kecekalan hati dan sikap mahu melakukan yang terbaik untuk dirinya. "Dia seorang yang cekal, sebab itu, kami (keluarga) tidak terkejut tentang beritanya yang mengharumkan nama negara kerana kami sudah tahu akan kemampuannya," kata Ismail Shawal, 55, ketika dihubungi pada Jumaat. Dalam acara berlangsung di Stadium Olimpik Rio itu, Siti Noor Radiah, 23, berjaya menduduki tempat ketiga selepas melakukan lompatan sejauh 5.20 m dalam percubaan ketiga, sekali gus mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.10m yang direkodkan di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Dipanggil sebagai 'Yaya' dalam kalangan keluarga, Siti Noor Radiah, 23, kata bapanya, sudah menunjukkan minat terhadap bidang sukan sejak di bangku sekolah rendah. Ketika itu, dia kerap menemani bapanya ke beberapa kejohanan sukan anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandangkan bapanya adalah seorang bekas komando tentera darat di Kem Sungai Udang, Melaka. Malah menurut Ismail, Siti Noor Radiah juga sering melihat dirinya memenangi pingat emas dalam acara renang 1,500 meter. "Mungkin dari situ semangat Yaya untuk menjadi juara lahir dan Alhamdullilah, berbekalkan doa keluarga dan rakyat Malaysia, dia akhirnya berjaya mendapat pingat. Saya gembira dengan pencapaian itu," katanya yang turut menyifatkan Yaya seorang anak yang tidak pernah segan berkongsi masalah dengan keluarga jika ditimpa musibah. Ismail yang kini menetap di Kg Bt 7 Jalan Muar, Segamat, berkata dia berbangga Yaya mengikuti jejak langkah yang aktif bersukan dan berharap ibu bapa lain yang mempunyai anak istimewa turut memberikan peluang kepada anak masing-masing untuk menonjolkan minat terhadap bidang diminati. "Anak Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah anak yang istimewa dan luar biasa. Jika diberi peluang dan galakan, insya-Allah mreka mampu buat lebih daripada orang biasa," katanya. - BERNAMA