JACK Wilshere akan diturunkan dalam kesebelasan utama Bournemouth ketika menentang Manchester City pada malam Sabtu. Pemain tengah Arsenal yang dipinjamkan ke Bournemouth itu terpaksa menjalani imbasan di pergelangan kaki kiri pada Isnin lalu sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengetahui tahap kecederaannya. Wilshere yang diturunkan dari bangku simpanan pada minit ke-63 melakukan penampilan pertamanya ketika Bournemouth menundukkan West Brom 1-0 pada minggu lalu, kembali berlatih bersama rakan pasukan Selasa lalu. Selepas tiada sebarang tanda-tanda kesakitan akibat kecederaan itu, SunSport difahamkan pemain berusia 24 tahun itu akan diturunkan ketika menentang anak buah Pep Guardiola di Stadium Etihad. Terdahulu, pengurus Bournemouth, Eddie Howe memutuskan untuk tidak mengambil risiko terhadap kecederaan Wilshere. "Tidak dinafikan beliau mempunyai kualiti menakjubkan sebagai pemain bola. Kami tidak sabar untuk menyaksikan beliau kembali beraksi bersama pasukan secepat mungkin. "Ia satu keseimbangan antara bergegas menurunkannya bersama pasukan dan untuk tempoh jangka masa panjang. Kami perlu memikirkannya. "Kami mahukan dia beraksi dalam banyak perlawanan, jadi kami akan menurunkannya apabila tiba masanya," kata Howe.