suria

Bapa Ziyad Terkejut Ada Kuota Rai Atlet

Muhammad Ziyad Zolkefli.

PETALING JAYA: Zolkefli Othman, bapa pemenang pingat emas acara lontar peluru paralimpik, Muhammad Ziyad, terkejut apabila Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan kuota hanya lima wakil keluarga dibenarkan memasuki Kompleks Bunga Raya di Sepang untuk menyambut kepulangan atlet golongan istimewa itu, Khamis ini.

Zolkefli berkata, beliau dihubungi pihak MSN untuk mengesahkan lima nama yang akan hadir pada majlis tersebut.

"Saya agak terkejut pada awalnya tapi terfikir mungkin MSN tak mahu terlalu ramai orang berada di kompleks itu nanti, takut keadaan menjadi sesak.

"Namun saya fikir kuota itu terlalu sedikit kerana yang nak pergi sambut Ziyad ramai. Kalau hanya lima orang sahaja dibenarkan masuk mungkin saya hanya akan tunggu di luar perkarangan kompleks itu nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Justeru, Zolkefli berkata,  beliau meminta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya mempertimbangkan semula kuota tersebut supaya lebih ramai ahli keluarga dapat menyambut ketibaan wira negara itu.

"Kalau boleh minta tolong media uar-uarkan perkara ini supaya menteri dapat meneliti semula kuota ini. Sudah tentu setiap ahli keluarga atlet mahu bersama-sama meraikan kepulangan mereka," katanya.

Jelas beliau, seelok-eloknya tiada kuota ditetapkan untuk setiap keluarga yang ingin berkongsi detik kegembiraan bersama atlet berkenaan pada Khamis ini.

"Saya minta sangat-sangat supaya tiada kuota untuk setiap ahli keluarga atlet. Kami sangat teruja mahu bertemu dengan Ziyad," katanya.

Terdahulu, Muhammad Ziyad, 26, melalui acara F20 (masalah pembelajaran) menjadi penyumbang emas kepada negara selain turut mencipta rekod dunia baru dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada percubaan kelima beliau di temasya sukan berprestij itu.


Muhammad Ziyad, MSN, Sukan Paralimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Majoriti Sokong Rooney Digugurkan

Artikel Lain