suria

Pemain United Terkejut Mourinho Kritik Shaw

PEMAIN Manchester United terkejut dengan layanan Pengurus Jose Mourinho terhadap Luke Shaw ketika pasukan itu tewas 1-3 kepada Watford pada aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.

The Times melaporkan Mourinho menurunkan Shaw dalam pertemuan itu meskipun pemain pertahanan tersebut bergelut dengan kecederaan pangkal paha sebelum mengkritiknya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Mourinho membidas prestasi Shaw selepas gagal memberi tekanan kepada Nordin Amrabat yang mencipta peluang kepada Juan Camilo Zungia untuk menjaringkan gol sekali gus meletakkan Watford di depan dengan kedudukan 2-1.

"Saya tahu saya ada tugas. Tetapi gol pertama Man City (ketika tewas 1-2 minggu lalu) dan gol kedua ini, anda boleh mencari persamaan yang luar biasa.

“(Aleksandar) Kolarov memiliki bola dalam situasi sukar di bahagian sudut dan pemain saya tidak cuba memberikan tekanan tetapi menyediakan peluang kepadanya.

"Hari ini gol kedua (Nordin) Amrabat dari sudut kanan, pemain pertahanan kiri kami hanya 25 meter jaraknya dari pemain itu dan bukan lima meter.

"Namun pada jarak 25 meter, anda perlu melompat dan memberikan tekanan. Bukan hanya menunggu. Ini melibatkan taktikal dan keupayaan berfikir. Dalam beberapa minggu segala-galanya seperti ini menjadi sempurna. Itu tugas saya," kata Mourinho.

Bekas pengurus Chelsea itu kini bergelut dengan tiga kekalahan berturut-turut buat pertama kalinya sejak 2002.

Shaw berdepan masalah kecederaan sejak berhijrah ke Old Trafford dari Southampton dengan nilai perpindahan sebanyak 28 juta pound, dua tahun lalu.

Dia terpaksa direhatkan kerana kecederaan hamstring dan pangkal paha pada musim pertamanya bersama United.

Malah dia turut mengalami kecederaan teruk apabila patah kaki semasa aksi menentang PSV Eindhoven pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain