KUALA LUMPUR: Kejayaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik di Rio Brazil terus diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Turut tidak ketinggalan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menunjukkan penghargaan di atas semangat juang atlet-atlet dalam menaikkan nama negara di mata dunia. Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, semua olimpian dan paralimpian dijemput membuat penampilan khas sebelum perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia pada 2 Oktober ini. "Kami berbesar hati menjemput mereka untuk hadir pada acara F1 dan juga MotoGP Malaysia. "Ini merupakan satu penghargaan besar kepada mereka untuk sama-sama berkongsi kejayaan manis, lebih-lebih siaran langsung televisyen dunia yang membuat liputan perlumbaan ini," jelasnya pada sesi minum petang bersama media, Rabu. Jelas Razlan, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah dimaklumkan tentang perkara tersebut. "KBS sudah memaklumkan bahawa mereka 'available' untuk tampil di litar pada hari Ahad (2 Oktober). "Manakala atlet -atlet paralimpik akan mengesahkan kehadiran selepas ini memandangkan mereka akan tiba dari Rio pada esok (Khamis)," tambahnya. Antara Olimpian yang bakal membuat penampilan di Litar Sepang termasuk Azizulhasni Awang , Fatehah Mustafa dan Pandelela Rinong. Manakala atlet-atlet badminton tidak dapat hadir menyertai acara tersebut memandangkan mereka terlibat dengan Terbuka Jepun. Perlumbaan F1 Pusingan 16 bakal berlangsung di SIC bermula 30 September hingga 2 Oktober ini.