suria

"Kami Ramai-Ramai Menangis Di Tepi Jalan" - Rakan Ziyad

Zulkifli (kiri) bersama rakan-rakan ketika menyambut kepulangan Muhammad Ziyad Zolkefli di Kompleks Bunga Raya, Khamis.

SEPANG: Sekumpulan rakan kepada atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli menangis beramai-ramai sebaik sahaja beliau memenangi pingat emas acara lompat jauh di Rio, Brazil.

Zulkifli Salim, 24, berkata ketika sedang beraksi di peringkat akhir di Rio, beliau bersama sekumpulan rakan baik Ziyad yang lain yang baru pulang dari kerja dan  berhenti di tepi jalan semata-mata untuk melihat Ziyad beraksi.

"Masa itu kami menaiki enam kereta dan berhenti di tepi jalan di Kuala Lumpur untuk menonton 'live streaming' aksi Ziyad menerusi telefon bimbit.

"Sebaik sahaja Ziyad diumumkan memenangi emas, kami semua tidak dapat menahan perasaan dan menangis beramai-ramai kerana terharu melihat kejayaannya," katanya ketika ditemui di Kompleks Bunga Raya di sini, Khamis.

Zulkifli hadir bersama sembilan rakannya yang lain membawa sepanduk besar bagi menyambut kepulangan Ziyad dan kontinjen Paralimpik negara.

Pemuda berasal dari Setapak, Kuala Lumpur ini berkata, beliau dan rakan-rakannya telah mengambil cuti tahunan demi menyambut kepulangan Ziyad sebagai wira negara.

Katanya, mereka tidak pernah berkira dengan Ziyad.

"Sepanduk ini kami reka dan tempah untuk Ziyad dan tak pernah berkira tentang harganya.

"Ziyad juga sangat merendah diri apabila bergaul dengan kami. Kalau dia akan menyertai pertandingan besar kami akan berkumpul dan belanja dia makan sebagai tanda sokongan," katanya.

Zulkifli berkata, Ziyad yang dikenalinya sejak sekolah menengah sering memberitahunya dan rakan lain bahawa beliau menceburi bidang sukan untuk membela nasib keluarga dan mengharumkan nama negara.

Jelasnya, walaupun Ziyad tahu kemampuannya, beliau tidak pernah menunjuk-nunjuk kehebatannya di depan orang lain.

Ziyad Zolkefli, paralimpik, KLIA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain